Wednesday, April 13

Bicara Agama-Cara Melupuskan Harta Haram


Utusan Malaysia Online - Bicara Agama

Memang tidak dapat dinafikan ada ketikanya kita terleka dan terlalai dalam kehidupan di dunia. Ini termasuk pernah terlibat sama ada secara sengaja atau tidak sengaja dalam aktiviti atau pekerjaan yang tidak bertepatan dengan syariah sebelum ini. Penglibatan ini akhirnya menyebabkan kita memperolehi pendapatan sama ada dalam bentuk gaji, komisen, dividen, keuntungan dan sebagainya secara yang tidak halal.

Penglibatan ini bukan sahaja menyebabkan orang yang terlibat melakukannya mendapat dosa, bahkan pendapatan serta hartanya pula menjadi haram.

Harta haram yang dimaksudkan di sini ialah yang diperolehi melalui jalan atau kaedah yang bercanggah dengan syarak. Ini termasuk faedah yang diperolehi dari akaun simpanan di bank-bank konvensional.

Justeru, mereka yang menyedari akan hakikat ini akan segera bertaubat kepada Allah SWT dan kembali ke pangkal jalan. Bahkan, wajib bagi mereka untuk bersegera dalam bertaubat dengan tidak bertangguh.

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (an-Nisaa': 17)

Imam Al-Ghazali turut mengulas isu yang sama dengan berkata: Wajibnya taubat itu adalah dengan segera tanpa sebarang keraguan dan tangguh, kerana sifat maksiat itu pemusnah iman seseorang. (Ihya 'Ulumiddin, 4/7)

Antara syarat bertaubat kepada Allah kerana mendapat harta haram adalah dengan cara melupuskannya. Perkataan 'melupuskan' sengaja digunakan kerana orang yang terlibat tidak boleh memanfaatkan harta tersebut untuk dirinya sama ada untuk membuat pembelian dan urusniaga-urusniaga yang lain.

Bahkan, Allah tidak memberikan pahala sekiranya dia menggunakan harta tersebut untuk menunaikan haji dan umrah, membayar zakat dan menderma kepada golongan fakir miskin.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: "Barang siapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala dan tanggungan dosanya tersebut adalah kekal (sehingga dia bertaubat kepada Allah SWT)". (riwayat al-Hakim)

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. (riwayat Muslim).

Demikianlah betapa beratnya bahana dari pengambilan harta haram sehingga Allah SWT tidak menerima amalan yang berkaitan dengan harta tersebut. Maka, para fuqaha telah mendatangkan beberapa penyelesaian untuk menyelesaikan dilema pemilik harta haram yang ingin bertaubat.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More