Friday, October 21

Kasih Sayang Suami dan Isteri

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan, Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Al-Rum: ayat 21)

Alam rumah tangga ada pasang surutnya. Terpulang kepada kita bagaimana untuk mengemudinya. Jika tersilap langkah, boleh retak atau hancur rumah tangga yang dibina. Ilmu rumah tangga merangkumi setiap ruang lingkup kehidupan. Semoga rumah tangga kita diberkati Allah SWT. Berikut antara tip kebahagiaan rumah tangga.

Akhlak suami isteri

Kehidupan berumah tangga bermula dengan mencari pasangan hidup. Sebelum menerima pasangan, perlu meletakkan ciri-ciri berikut pada pasangan kita iaitu bersifat takwa, kasih sayang dan belas kasihan, bergaul secara baik, bertanggungjawab, bersikap terbuka, bertolak ansur, mengamalkan kebijaksanaan, musyawarah dan memberikan contoh yang baik

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya, “Sesungguhnya lelaki mukmin yang sempurna imannya ialah mereka yang baik tingkahlakunya dan lemah lembut terhadap isteri dan anak-anaknya.” (Riwayat At-Turmizi)

Bukan suami sahaja, isteri juga perlu menyiapkan diri dengan ciri-ciri sempurna seperti bersifat takwa, mentaati suami, menghias diri untuk suami, mencintai dan mengasihi suami, memelihara kehormatan diri dan harta suami, menjaga rahsia rumah tangga, melaksanakan kepimpinan selaku isteri dan mendapat keizinan suami dalam segala urusan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud; “Kahwinilah wanita kerana empat perkara, kerana harta, keturunan, kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, nescaya akan selamat” (Muttafaqun’ Alaih)

Rumah tangga boleh menjadi pudar sekiranya suami isteri tidak bijak menangani sesuatu kekusutan yang berlaku. Antara punca kekusutan yang perlu dihindari ialah membesarkan masalah yang remeh, mengabaikan perasaan pasangan, tidak ambil berat hal agama, mengabaikan sopan santun, menghina pasangan atau keturunan, cemburu buta dan menyakiti hati pasangan.

Sebelum mendirikan rumah tangga, pasangan perlu membuat persediaan secukupnya. Pasangan perlu mendalami ilmu fardhu ain dan kifayah. Selain itu perlu juga persediaan fizikal, mental dan spiritual kerana perkahwian adalah penyatuan dua individu yang berlainan latar belakang, keluarga dan persekitaran. Perkara utama juga ialah persediaan tahap sosio ekonomi kerana alam rumah tangga menuntut sepenuh komitmen ini (ekonomi). Banyak kes perceraian berlaku semata-mata kerana tuntutan ekonomi yang mendesak.

Matlamat perkahwinan

Untuk mencapai kebahagiaan hidup berkeluarga yang berkekalan dan mendapat rahmat serta keredhaan Allah SWT adalah dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak. Telah diperturunkan beberapa hikmah menerusi perkahwinan antaranya memelihara diri daripada melakukan perkara yang haram, memelihara kesucian keturunan dan membentuk keluarga serta menyusun masyarakat yang bersih dan harmoni.

Komunikasi memainkan peranan penting dalam rumah tangga. Pasangan perlu mengamalkan komunikasi secara bersopan santun, menggunakan panggilan mesra dan sesuai. Cuba elakkan bercakap secara serentak yang boleh menimbulkan ketegangan dan perbalahan. Cuba mendengar setiap perkataan dari pasangan sehingga dia menghabiskan kata-katanya.

Antara faktor yang merosakkan komunikasi suami isteri ialah:-

· Mempunyai andaian yang salah

· Inginkan pasangan yang serupa dengan diri sendiri

· Mengungkit, menyakiti, bangga diri

· Mencari kesalahan pasangan

· Terlalu cemburu

· Terlalu ingin berkuasa

· Menggunakan bahasa yang boleh memutuskan hubungan suami isteri

· Meremehkan pasangan

· Ego dan sensitif

Apabila kemarahan mula menguasai diri, perlu diingat bahawa ketika itu nafsu mula menguasai diri. Bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk, segera mengambil wuduk dan elakkan berdiri semasa marah. Banyakkan bersabar dan elakkan daripada mengguna perkataan yang membangkitkan kemarahan atau menyalahkan pasangan. Tidak salah anda memulakan mengalah dengan mengakui kesalahan dan kesilapan diri. Sentiasa bersifat sedia memaafkan pasangan walaupun adakala kita merasa kita di pihak yang benar. Pilih satu masa yang sesuai untuk menerang kembali perkara tersebut.

Adakalanya kita lokek untuk menuturkan kata-kata indah di dalam komunikasi suami isteri. Biasakan mengucapkan salam pada pasangan setiap pagi dan petang. Begitu juga ucapan ’sayang’, ’tolong’, ‘terima kasih, “Insya-Allah ” apabila berjanji, ’maaf’ dan berdoa untuk kesejahteraan bersama. Apabila komunikasi suami isteri baik, maka hubungan akan menjadi lebih baik dan mesra. Ia juga boleh meningkatkan persefahaman, permuafakatan dan membawa kepada keharmonian keluarga.

Perubahan sikap

Tidak dinafikan dalam kehidupan berumah tangga ada pasang surutnya. Kita boleh menilai perubahan sikap pasangan jika dia cepat marah, mudah bosan atau tidak mampu mengendalikan urusan rutin. Pasangan juga mungkin mula mengalihkan kemarahan, hilang rasa lucu dan mula bersikap negatif.

Selain perubahan sikap, fizikal mereka juga mengalami perubahan. Pasangan mungkin jatuh sakit, tubuh badan menjadi terlalu kurus atau gemuk, hilang keceriaan diri, lesu, letih, tidak langsung berhias, agresif, suka mengelamun, sering lupa dan mengasingkan diri. Jika sikap begini ada pasangan kita, maka mulakan dengan perbincangan untuk mengelakkan keadaan menjadi semakin rumit.

Jika tidak ditangani dengan cepat, bimbang ia menjadi semakin kronik dan menganggu emosi. Jika sesuatu masalah tidak diselesaikan dengan cepat, pasangan terutama wanita akan mengalami perubahan emosi seperti terlalu cemburu, sedih dan sensitif, terlalu gembira, mementingkan diri, kemurungan dan kebimbangan yang keterlaluan.

Setiap dari kita harus bijak menangani tekanan. Tekanan boleh berlaku atas beberapa faktor. Tekanan berkait rapat dengan kesihatan fizikal, mental, psikologikal dan spiritual. Elakkan konflik dalaman sama ada dengan suami, isteri, keluarga atau tempat kerja. Menjalani kehidupan yang lebih bermakna akan mendatangkan kebaikan untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Jika mengalami tekanan, kita perlu mengenali punca-punca tekanan dan mengambil tindakan tertentu. Jika berlanjutan, dapatkan bantuan pakar. Di dalam situasi kehidupan yang mencabar hari ini tekanan berada di sekeliling kita. Jangan membiarkan tekanan menyebabkan rumah tangga kucar kacir dan hilang kebahagiaan yang pernah dikecapi sebelum ini.

Antara teknik untuk mengurangkan tekanan ialah dengan mengubahsuai amalan harian dengan melakukan senaman. Kita juga perlu menyedari tahap keupayaan diri dengan menyeimbangkan aktiviti kehidupan. Lakukan perancangan yang teratur dan yang paling penting pertingkatkan ibadah dengan bertaqarrub kepada Allah SWT.

Konflik

Konflik merupakan salah satu punca keretakan rumah tangga. Konflik terjadi apabila berkurangannya perasaan kasih sayang dan kemesraan antara pasangan. Rumah tangga yang berkonflik akan kehilangan ketenangan hidup, mengabaikan perlaksanaan tanggungjawab, pergaulan menjadi tidak baik, berlaku halangan komunikasi, tidak telus dan bersikap negatif

Konflik berpunca dari banyak sebab; antaranya kerana sikap tidak menghargai atau menghormati pasangan. Atau mungkin juga pasangan menghadapi masalah kesihatan sehingga gagal mengimbangi kerjaya dan rumah tangga. Ada juga yang berpunca kerana mereka gagal memahami budaya kerja pasangan.

Konflik bertambah gawat seandainya terdapat gangguan oleh faktor luaran yang negatif seperti kehadiran orang ketiga atau campur tangan keluarga mertua. Selain itu masalah kewangan juga boleh menimbulkan konflik yang meruncing. Atau mungkin juga pasangan mengamal akhlak yang buruk walau telah diberi peluang berkali-kali, namun tidak pernah berubah membuatkan pasangan semakin tawar hati. Ada juga pasangan yang berkonflik akibat perkahwinan campur kerana perbezaan budaya.

Konflik mengakibatkan tekanan perasaan yang menyebabkan hubungan tidak mesra dan pengabaian tanggungjawab. Jika berlanjutan ia mengakibatkan kesan semakin teruk iaitu pertengkaran, penganiayaan, kecurangan dan jalan penyelesaian terakhir yang meruntuhkan kebahagiaan yang dibina iaitu perceraian.

Bagi mengelakkan tekanan dan konflik melanda rumah tangga anda, kekalkan kasih sayang antara suami isteri. Elakkan dari perkara ini hadir dalam rumah tangga anda!

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More