Wednesday, December 8

Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1432H/2010M Disambut Meriah

Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1432H/2010M telah berlangsung dengan jayanya pada 7 Disember 2010 di Dewan Planeri, Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC). Seri Paduka Baginda Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah telah berkenan berangkat dan merasmikan majlis seterusnya menyampaikan hadiah kepada Tokoh Maal Hijrah 1432H.


Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa peristiwa hijrah adalah detik bersejarah yang telah mengubah seluruh lanskap kehidupan umat manusia ketika itu. Di dalamnya terkandung semangat perpaduan, kasih sayang dan toleransi kaum dalam sesebuah negara. Perancangan pembangunan negara pasti akan terbantut sekiranya perpaduan dan keharmonian rakyat tidak dipertahankan bersama. Negara akan terdedah kepada kemunduran dan kehancuran sekiranya masyarakat saling curiga mencurigai serta saling bertelagah. Adalah menjadi tanggunjawab bersama bagi memastikan negara dalam keadaan aman dan berjaya untuk diwarisi oleh generasi akan datang.


Turut hadir memeriahkan Majlis Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan YABhg. Datin Sri Rosmah binti Mansor, YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd. Yassin dan YABhg. Puan Sri Datin Hajah Noorainee binti Haji Abdul Rahman, YABhg. Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi, YABhg. Tun Dato’ Sri Ahmad Fairuz bin Dato’ Sheikh Abdul Halim dan isteri, YABhg. Tun Dr. Ahmad Sarji Bin Abdul Hamid dan isteri, dan dif-dif kehormat yang lain. Dewan Planeri dipenuhi lebih dari 3000 orang penonton yang terdiri dari kontinjen Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun, Agensi Swasta dan orang awam.


Tema yang telah dipilih bagi sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu “1Malaysia 1Ummah”selaras dengan konsep “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bagi mengulas tema tersebut, YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B); Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1432H/2010M menyatakan dalam ucapan beliau bahawa teras perpaduan umat Islam haruslah sejati, tulus dan penuh dengan toleransi.

Nilai dan ideologi yang terkandung di dalam Rukun Negara perlu dijadikan kerangka utama rujukan paradigma dan integrasi seluruh rakyat Malaysia. Manakala Perlembagaan Persekutuan pula menjadi asas nombor wahid (satu) kepada kita semua.


Beliau juga menyatakan bahawa apabila persetujuan dan kefahaman sebegini dapat dimantapkan, baharulah kesinambungan kemakmuran dan kestabilan sosial, ekonomi dan politik negara akan terus mekar dan kekal.


Acara kemuncak bagi sambutan ini adalah pengumuman tokoh Maal Hijrah oleh YBhg. Dato’ Hj. Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Hj. Abdul Aziz; Ketua Pengarah Jakim dengan menyaksikan YBhg. Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Gabenor Bank Negara dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1432H/2010M.


Acara sambutan ini dimeriahkan lagi dengan bacaan doa yang disampaikan oleh gabungan Imam Besar Masjid Putra dan adik Muhammad An-Naim Yasim (finalis program realiti Adik-Adikku musim pertama), bacaan ayat-ayat suci al -Quran oleh Encik Wan Ainuddin Hilmi bin Abdullah (Naib Johan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-52 Tahun 1431H/ 2010M).


Majlis seterusnya diserikan dengan persembahan khas gabungan peserta program realiti Adik-Adikku musim pertama dan kedua seramai 47 orang serta persembahan qasidah oleh Ustaz Mohd Farid Ravi Abdullah. Antara bentuk persembahan yang dipaparkan ialah kisah kelahiran manusia, persembahan puisi, nyanyian dua buah lagu iaitu Tobat Maksiat dan Insya-Allah dan diakhiri persembahan lagu tema Maal Hijrah yang telah menyentuh perasaan semua hadirin yang hadir.


Barisan Dif Kehormat.


SPB YDPA sedang menyampaikan titah ucapan sempena Maal Hijrah 1432H/2010M.


Bacaan doa oleh Imam Besar Masjid Putra dan adik Muhammad An-Naim Yasim.


Antara tetamu VVIP yang hadir.


Persembahan khas :- adik Muhammad Qayyim Nizar Sarimi.




Antara kontinjen yang hadir.

Barisan artis persembahan.



2 comments:

kau tak buat persembahan ke wak?? huhhuhu~

Kenapa gambar2 di atas tu x boleh dipaparkan? Teringin sangat nak tengok artis adik2ku tu.

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More