Friday, September 16

“KESETIAAN RAKYAT, KEMAKMURAN NEGARA”

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“KESETIAAN RAKYAT, KEMAKMURAN NEGARA

(16 SEPTEMBER 2011 / 18 SYAWAL 1432H)


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk: Kesetiaan rakyat, kemakmuran negara”.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Pada hari ini kita menyambut perayaan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Hari Malaysia ialah hari yang memperingatkan kita tentang penubuhan Persekutuan Malaysia dan menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bagi membentuk negara Malaysia. Malaysia adalah negara berdaulat dan rakyatnya yang berbilang kaum amat bertuah. Oleh itu, menjadi kewajipan kita sebagai rakyat memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara ini. Sedarlah, kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah air dan tanah tumpah darah kita yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki, dan nadi kehidupan kita. Janganlah ada di kalangan rakyat bersikap mementingkan diri sendiri sehingga keharmonian di negara kita terancam, retak dan hancur. Allah SWT telah memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya dalam surah Saba’ ayat 15:

Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka), (lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.

Ayat ini menceritakan kepada kita tentang kisah Ratu Balqis dan kaum Saba’ di negeri Yaman. Mereka mencapai tahap ketamadunan hidup sehingga mampu mengurus masalah air di selatan dan timur negeri tersebut. Kejayaan ini mengakibatkan hasil pertanian dan perladangan bertambah baik. Namun disebabkan kaum Saba’ enggan bersyukur terhadap segala nikmat itu, maka Allah SWT menurunkan ujian ke atas mereka. Segala nikmat-nikmat tadi dirampas dengan mendatangkan bencana banjir besar sehingga menenggelamkan harta benda, rumah, kampung halaman dan mengorbankan banyak nyawa. Akhirnya negeri yang dahulunya subur telah berubah menjadi kering kontang.

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Sesungguhnya kemakmuran sesebuah negara berkait rapat dengan perasaan cinta, kesetiaan dan pengorbanan rakyat terhadap negara dan pemimpin secara menyeluruh. Rasa cinta itu terkumpul dalam erti kata dasar iaitu taat setia yang tidak berbelah bahagi. Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya:Barangsiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku.” (Hadith al- Bukhari)

Pemerintah yang bertanggungjawab dan adil sangat diperlukan bagi memimpin rakyat. Rakyat tiada kuasa untuk ingkar atau keluar daripada garisan taat setia kepada mereka. Jika terdapat segelintir yang menentang, maka mereka harus didisiplinkan menurut prinsip-prinsip Islam. Begitu juga halnya dengan pemimpin, selagi mereka berpegang dengan tali Allah, rakyat wajib menunjukkan taat setia dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka. Al-Imam Abu Bakar al-Turtusyi menyatakan: Taat kepada pemerintah adalah petunjuk bagi orang yang menjadikan cahayanya sebagai penyuluh, tempat berlindung bagi mereka yang memeliharanya. Orang yang terkeluar dari sempadan taat, tersingkir ia daripada perlindungan Allah, terlepas daripada jaminannya. Taat kepada pemerintah adalah tali Allah yang kukuh, agamanya yang lurus, perisai yang melindungi dan pemeliharaan yang tinggi.

Justeru, marilah kita memikul tanggungjawab bersama mempertahan, memelihara dan menjaga maruah agama dan tanah air dengan menanam rasa kasih dan setia antara yang dipimpin dengan pemimpin. Ingatlah bahawa agama Islam sentiasa menuntut umatnya agar bersifat kasih kepada pemimpin dan negara kerana ia sebahagian daripada cabang keimanan. Namun berdasarkan kepada pemerhatian mimbar akhir-akhir ini terdapat segelintir rakyat yang cuba menimbulkan isu-isu yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara, mengubah fakta sejarah negara, mengagung-agungkan kumpulan yang mengkhianati tanahair dan mengiktiraf petualang sebagai pejuang. Mimbar ingin mengingatkan bahawa Rasulullah SAW mendidik umatnya supaya sentiasa bercakap benar, tidak menyeleweng daripada kebenaran dan fakta, berlaku adil dan menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji seperti amanah serta tidak mengenepikan tanggungjawab dan fitrah kehidupan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 58:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. ”

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Hujatul Islam Imam al-Ghazali pernah berpesan bahawa sesuatu umat itu perlu mantap pegangan agamanya. Tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tidak bertiang, pasti akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga, pasti akan musnah dan hilang. Oleh itu, marilah kita sama-sama menyusuri sirah Rasulullah SAW sebagai contoh yang terbaik. Baginda terkenal sebagai seorang negarawan yang sangat sayang dan setia kepada tanahairnya. Sudah pasti perbuatan ini adalah satu sunnah. Rasulullah SAW sendiri pernah mengungkapkan perasaan kasihnya sewaktu tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah dengan sabdanya:Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah sebagaimana Engkau berikan kecintaan kepada Makkah atau lebih dari itu; dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya dan gantikan wabak penyakitnya dengan juhfah (bebas penyakit). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sidang Jumaat Yang Dihormati,

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, marilah kita sama-sama memperkukuh perasaan kasih dan sayang kepada negara dengan memupuk kesetiaan kita kepada pemimpin demi mengekalkan keamanan serta menjaga kestabilan negara ini daripada sebarang bentuk ancaman. Insafilah bahawa keamanan negara ini bukan datang bergolek tetapi adalah datang daripada pengorbanan semua pihak samada rakyat atau pemimpin. Sebagai contoh, negara kita pernah diancam oleh pihak komunis sehingga terpaksa mengistiharkan darurat. Dalam tempoh tersebut beribu-ribu mangsa yang terdiri anggota polis, tentera dan orang awam mati serta cedera akibat kekejaman komunis. Justeru, mimbar mengingatkan janganlah kita menjadi seorang muslim yang gemar menghuru-hara keadaan, mengadu-domba sesama kita malah memutarbelitkan fakta sejarah perjuangan untuk mencapai kemerdekaan dan penubuhan negara Malaysia. Cintailah keamanan yang wujud di negara kita ini dan peliharalah dengan sebaik mungkin. Ingatlah bahawa kesetiaan rakyat kepada pemerintah merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita menyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak. Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 96:

Maksudnya: Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan(Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More